Thursday 1 January 2015

Selamat Tahun Baru 2015


Assalamualaikum....

Selamat menyambut tahun baharu 2015 diucapkan kepada semua. Semoga kehadiran tahun baharu ini memberikan kehidupan yang lebih baik untuk kita di dunia yang fana ini. Tidak dinafikan tahun 2014 memberikan banyak pengalaman yang memeritkan untuk kita semua. Walau bagaimanapun, kita harus percaya bahawa semua yang berlaku ada hikmahNya. Banyak perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini tercatat di dalam diari kehidupan kita dalam tahun 2014. Bermula dengan insiden MH370 yang sehingga hari ini masih tiada kesudahan, MH17 yang menjadi menyentak seluruh perasaan kita, luluh seluruh jiwa raga menerima perkhabaran tersebut walau pun bukan saudara mara saya yang terlibat dalam peristiwa yang menyayat hati itu. Tapi oleh kerana ia melibatkan syarikat penerbangan negara kita, tidak dapat tidak, sedikit sebanyak kesedihan datang bertamu. Semoga semua mangsa bersemadi dengan tenang di sana. Al Fatihah.




Tidak cukup dengan itu, kita diuji lagi. Penghujung tahun kita diuji dengan banjir besar yang amat dahsyat. Mana - mana kawasan yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini tidak terkecuali dilanda musibah ini kali ini. Tidak tertahan airmata apabila di media - media sosial tersebar gambar-gambar mangsa yang sungguh menyayat hati. Ada yang hanya tinggal sehelai sepinggang, rumah hilang entah ke mana dibawa arus deras. Ya Allah, kiranya inilah kifarah atas dosa-dosa kami, ampunkan kami Ya Allah. Ada di antara keluarga dan sahabat rapat yang tidak terkecuali dengan tempias ini. Sungguh kami diuji Ya Allah...




Beberapa detik menjelang 2015, sekali lagi dunia penerbangan diuji. Kali ini syarikat penerbangan tambang murah milik Air Asia QZ8501 dari Surabaya ke Singapura tiba-tiba terputus hubungan dipercayai akibat cuaca buruk. Selepas 48 jam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui QZ8501 di Selat Karimata, Pengkalan Bun, Kalimantan Tengah. Beberapa mayat berjaya ditemui dan teka-teki terjawab.Semoga semua yang menjadi korban dalam kejadian ini tenang di sana. Al Fatihah kepada yang beragama Islam.


Sama -sama kita doakan semoga tahun 2015 memberikan kita kekuatan untuk menempuh apa sahaja cabaran yang bakal tiba..


No comments:

Post a Comment