Showing posts with label KEK. Show all posts
Showing posts with label KEK. Show all posts

Saturday, 3 January 2015

VICTORIA SANDWICH CAKE


Assalamualaikum...

Hari ini 3 Januari, merupakan harijadi kawan baik saya. Bukan setakat kawan baik malah kami dah jadi macam adikberadik. Daripada kawan, kini kami dah jadi jiran...menjadikan hubungan semakin rapat. Daripada anak-anak beliau kecil, hingga dah meningkat ke alam dewasa sekarang. Semoga Allah s.w.t melimpahkan seribu kebaikan atas persahabatan ini.

Sempena harijadi beliau, saya bercadang untuk membuatkan sebiji kek kepada beliau. Belek punya belek, fikir punya fikir apa kek yang sesuai. Kek coklat macam dah biasa sangat, cheese cake pulak beliau kurang gemar. Tiba2 terlintas idea untuk membuat kek ini...rasa macam best jer..nampak resepi dalam blog Kak Ita macam tak berapa susah sangat. Hiasan buah strawberry menjadikan kek ini nampak segar dan menyelerakan. Jadi, saya buat keputusan untuk men'surprise'kan beliau dengan kek ini...dan ternyata hasilnya tak mengecewakan kerana beliau dan anak - anaknya menggemarinya...alhamdulillah....

Jom saya share yang sekali lagi saya ambil dari http://www.azlitamasammanis.com/. Tapi saya nak minta ampun sebab saya derhaka sikit dengan resepi ini tang tepungnya...


VICTORIA SANDWICH CAKE
Rujukan : Blog Masam Manis 

Bahan Kek

220g tepung kek (saya terpaksa guna self raising flour apabila tiada tepung kek dirumah)
30g tepung jagung
secubit garam
*Bahan-bahan ini perlu di ayak sebanyak 3 kali

250g gula castor
250g butter tanpa garam
2 sudu besar golden syrup
2 sudu teh esen vanilla
5 biji telur

Cara membuatnya :

1. Pukul butter, gula dan golden syrup hingga gebu dan kembang.
2. Masukkan telur satu persatu dan teruskan memukul adunan.
3. Masukkan esen vanilla.
4. Masukkan tepung yang telah diayak dan kacau secara kaup balik sehingga adunan sebati.
5. Bahagikan adunan kepada dua bahagian yang sama banyak dan masukkan ke dalam dua loyang berlainan yang sama saiz.
6. Bakar pada suhu 170 darjah selama 30 minit atau sehingga kek masak dengan sempurna.

Bahan Krim
1 1/2 cawan non dairy whipping cream
56g cream cheese
Sedikit lemon paste

1. Pukul whipping cream sehingga soft peak.
2. Dalam bekas berasingan, pukul cream cheese dan lemon paste.
3. Campurkan kedua-dua campuran dan sebatikan.

Bahan lain :
Strawberry jam - boleh beli yang ready made atau buat sendiri. Saya beli yang dah siap jer.


Setelah kek masak, sejukkan dan pipe kan cream cheese dan sapukan strawberry jam. Alaskan lapisan kedua kek dan pipe kan sekali lagi cream cheese dan strawberry jam. Letakkan buah-buahan yang disukai mengikut cara yang tersendiri. Siap dan boleh dinikmati. Lazat, lemak berkrim disukai ramai...

Selamat mencuba...senang jer ni...

Thursday, 20 November 2014

CONGO BARS....

Assalamualaikum...


Lamanya tidak menjenguk ke sini...rindu datang bertalu-talu tapi mood untuk mengupdate blog sangat ke laut...tak tahu kenapa malas sangat...alhamdulillah malam ini ada sedikit kekuatan...so, jom kita cerita pasal kuih ini...

Nama kuih ni congo bars..tak tahu nak kelaskan kek ke brownies...tapi yang penting rasa dia sangat sedap...sangat sangat sedap...hehehe,,,tanpa sedar satu persatu dikunyah dan ditelan...sebenarnya orang lain dah lama buat cuma saya jer yang ketinggalan keretapi...asyik duk membelek ke dapur blog blogger-blogger hebat dah sunyi dah congo bars ni...saya jer yang baru terhegeh-hegeh nak buat. Motivasinya datang dari kakak baik saya membuatnya...ishhh tak boleh jadi ni...bak kata omputeh...better late than never...so, semalam adalah hari kejadiannya...

Resepinya saya ambik dari kawan saya tu jugak : klik di sini yer untuk resepinya...saya malas nak re-type..hehehe...saya ikut sebijik-sebijik cuma part gula tu saya kurangkan ke 250g sahaja...sebab saya rasa macam banyak sangat jer 320g tu...hasilnya saya rasa just nice..sebab saya tak suka manis-manis sangat...

Apapun, bila dah masak saya punya tak sabar nak makan...masya Allah sedapnya...patut la semua orang buat..satu slice demi satu slice tanpa rasa bersalah masuk ke mulut saya...

Sedap uolls...tolong la buat...jangan la bagi saya gemuk sorang2...hehehe....

Monday, 23 December 2013

PLAIN CHEESE CAKE

Assalamualaikum...

Salam 24hb Disember 2013. 2013 ini sudah semakin ke penghujungnya. Apa khabar iman kita hari ini? Sedari awal pagi hujan turun membasahi bumi...semoga ia adalah hujan rahmat dan hujan yang memberikan manfaat untuk seluruh isi alam. 

Hari ini saya nak berkongsi resepi plain cheese cake. Cheese cake ini dah beberapa kali jugak saya buat. Ada yang keinginan tekak sendiri dan kadangkala permintaan dari rakan-rakan terdekat. Sekadar mengisi masa lapang....bagi saya ia adalah hobi yang sangat best...cuma, membuat kek ini memerlukan emosi yang sangat stabil...pernah beberapa kali saya gagal lantaran jiwa yang sedang galau...cewahhh...jiwang pulak hujan-hujan ni...


Saya dah pernah kongsikan dulu resepi kat sini...cuma time tu, saya pakaikan crown kat kek ni..but don't worry, the recipe and the method is still the same...komen kawan-kawan kek ni sedap...tak muak dan rasa cheese sebenar..so, saya rasa saya akan kekalkan guna resepi ini for this kind of cake.

Saya kongsikan sekali lagi di sini untuk perkongsian dan juga untuk rujukan saya sendiri pada masa-masa yang akan datang:

Bahan - bahan:

Bahan A

250g cream cheese
1/4 buku butter
6 biji kuning telur
60g tepung jagung
1/2 fresh cream
1 tsp esen limau (jika suka)

Bahan B:
125g gula castor
6 biji putih telur.

Cara membuatnya:
1. Pukul Bahan B hingga betul2 kembang (soft peak).
2. Dalam bekas yang berasingan, pukul cream cheese dan butter. Setelah sebati, masukkan kuning telur. Pukul lagi hingga sekata dan masukkan tepung jagung dan seterusnya fresh cream bersama esen limau.
3. Masukkan Bahan B ke dalam Bahan A. Kacau hingga sebati.
4. Masukkan ke dalam loyang dan bakar secara steam bath.

Saya tak sempat ambik banyak gambar semasa buat kek ini..dan tak dipotong sebab tempahan orang...so, inshaa Allah next time ok? Selamat mencuba..

Sunday, 22 December 2013

CARROT CUPCAKES


Assalamualaikum...

Entry tertangguh lagi...saja nak share carrot cupcakes. Sebenarnya carrot cakes adalah kek yang sering sangat saya buat...sama ada dalam bentuk kek sebiji yang besar atau pun dalam bentuk cupcakes. Akhir - akhir ini saya suka buat dalam bentuk cup cakes kerana tempoh membakarnya yang lagi cepat...dan nak decorate pun agak senang...just piping the cheese...dah siap...


Resepi yang saya gunakan adalah resepi yang saya dah biasa gunakan. Saya pernah share di sini dulu...cuma masa tu saya buat kek sebiji and this time adalah cupcakes. Kali ini adalah atas permintaan jiran saya yang hendak dibawa ke majlis reunion bersama kawan-kawan sekolah.




Selamat menikmati dan mencuba....

SNOW CHEESE CAKE

Assalamualaikum dan salam pagi Isnin kepada semua sahabat-sahabat di alam maya. Masuk minggu baru dan kita sedang meniti hari - hari terakhir di tahun 2013. Tak lama lagi 2014 akan menjelang. dah tercapaikah semua azam yang kita pahatkan untuk 2013? Sudah bertambahkah amal dan keimanan kita? Semoga kita semua sentiasa dipayungi rahmat dan kasihsayangNya...dan semoga taqwa kita semakin meningkat seiring pertambahan usia..



Entry ini adalah yang dah lama tertangguh. Saya sendiri dah lupa bila masa saya buat kek ini. Tapi rasanya masih ada...teringin nak buat lagi...tunggulah masa dan hari yang sesuai yer. Resepinya saya jumpa kat sini. Terima kasih kepada Kak Nor yang sudi berkongsi resepi ini..yang sangat walla rasanya...keknya sangat lembut dengan lelehan cheesenya...aduhai...tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata kesedapannya...hehehe..

Saya copy & paste resepinya disini.

KEK CHEESE BERSALJI
resepi : Sherry mz@MyR
sumber: Kzai@Teratakimpian
sumber : K.Nor@SecubitGaram

Bahan2:
UNTUK KEK:
6 biji telur ayam (buang 2 putihnya)
100 gram gula halus
100 gram tepung hong kong (blue key superfine boleh juga) ~ k.nor guna tpg gandum biasa
60 gram tepung jagung (maizena)
50 gram air sejuk (dr peti ais)
1 sudu teh baking powder
2 sudu makan ovelet
75 gram mentega (dicairkan)

UNTUK KRIM:
1 kotak cream cheese philadelphia
1/2 tin susu pekat manis- akak letak 1 cwn (satukan kedua bahan & putar sehingga tidak berketul2)

UTK TOPPING:
1/2 kotak kraft cheddar cheese (diparut)

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan2 kecuali mentega cair dan putar.
2. Putar dengan kelajuan sederhana sehingga pekat & putih.Akhir sekali masukkan mentega cair.Putar lagi sehingga sebati dan pekat.
3. Sediakan acuan yang telah dialas dgn kertas minyak atau yang telah disapu dgn sedikit butter.
4. Bakar dalam acuan dengan menggunakan api atas dan bawah selama 45 minit ke 1 jam, dengan kepanasan 150C.
5. Bila sudah masak biarkan sejuk. Bila dah sejuk, ambil pisau kek dan potong di tengah-tengah kek supaya menjadi dua bahagian.
6. Sapukan krim cheese di atas separuh kek tadi, kemudian letakkan sebahagian lagi kek di atasnya.
7. Sapukan lebihan krim cheese sehingga menutupi seluruh kek.
8. Akhir sekali taburkan cheese kraf yang telah diparut tadi keseluruh kek sebagai toppingnya.
9. Masukkan dlm peti ais dlm 1-2 jam. Lepas tu baru potong.


Read more: http://www.secubitgaramnor67.com/2013/01/kek-cheese-bersalji-snow-cheese-cake.html#ixzz2oFicM8gl

Membuatnya tidaklah sesusah mana cuma perlukan sedikit usaha sahaja. Saya percaya sesiapapun akan setuju dengan saya bahawa kita akan rasa sangat berpuashati bila apa yang kita buat menjadi walaupun kita berpenat lelah membuatnya...betul tak? Hehehe...saya dah makan kek ini tanpa rasa bersalah...


Kepada penggemar cheese cake,selamat mencuba...I bet you'll love this cake very much.Believe me...

Thursday, 19 December 2013

Tahniah Nana dan happy birthday Zafran....

Assalamualaikum...salam pagi Jumaat yang penuh barakah..semoga semua sahabat di dalam rahmat,lindungan dan kasihsayangNya. Semoga setiap apa yang kita lakukan dikira sebagai ibadah oleh Yang Maha Satu.

Semalam, keputusan peperiksaan PMR 2013. Tahniah kepada anak - anak yang berjaya dengan cemerlang. Kepada yang kurang cemerlang, jangan berputus asa...masih ada masa..semoga semuanya dipermudahkan pada masa-masa yang akan datang. Sempena keputusan PMR diumumkan semalam, saya ingin menghadiahkan sebiji kek coklat ini kepada anak jiran saya kerana telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A. Semoga Nana akan terus berjaya pada masa - masa yang akan datang. Tahniah Nurul Husna binti Zaidi kerana berjaya menjadi anak kebanggaan mak dan abah...


Semalam juga saya mendapat tempahan kek coklat untuk seorang office mate untuk dibawa ke sekolah anaknya hari ini sempena birthday Zafran yang ke-5 tahun. Happy birthday Zafran..semoga menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapa. Di samping kek coklat, ibunya juga meminta menyediakan cream puff. Dah jadi kebiasaan sekarang, birthday anak-anak disambut di sekolah bersama kawan - kawan...meriah..the more the merrier..orang kata...


Sunday, 10 June 2012

KEK CHIFFON PANDAN

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu..

Apa khabar semua? Semoga sihat semuanya yer...hari ini merupakan hari terakhir cuti persekolahan...walaupun cuti sekolah tak der kena mengena sangat dengan saya tapi sedikit sebanyak ia menjejaskan waktu keluar untuk saya pergi kerja..saya kena keluar awal pagi walaupun pada hari biasa, masa perjalanan ke pejabat tak sampai 10 minit...


Apapun, bukan itu yang hendak saya bebelkan kat sini..saya nak kongsi resepi kek chiffon pandan yang sangat sedap...hehe...betul saya tak tipu..kalau tak caya cuba buat, meh saya kongsikan resepi yang saya ambik kat sini...percayalah kek ini sangat sedap...


Bahan-bahan 

Bahan A
* 6 biji kuning telur
* 2/3 cawan minyak Mazola
* 2/3 cawan santan pekat
* ½ sudu kecil garam
* 1 cawan gula pasir
* pewarna hijau dan perisa pandan
* 1 1/2 cawan tepung gandum *diayak (saya guna self raising flour, jadi saya tak letak baking powder)
* 2 sudu kecil baking powder* diayak


Bahan B
* 6 biji putih telur
* 1/2 cawan gula pasir
* 1 sudu kecil cream of tar tar


Cara-cara

Bahan (A): 

  1. Masukkan kuning telur, garam dan gula. Kacau. (tak perlu kembang, sebati je dah cukup)
  2. Masukkan pewarna hijau, minyak dan santan dan kacau lagi.
  3. Masukkan tepung(yang telah diayak bersama baking powder) gaul sebati dan ketepikan. dahulu.
Bahan (B): 
  1. Pukul putih telur sehingga menjadi berbuih.
  2. Kemudian masukkan gula.Pukul lagi hingga kembang.
  3. Masukkan cream of tartar. Pukul lagi hingga betul2 kembang, jika diterbalikkan adunan tak jatuh.
  4. Last sekali, masukkan bahan B ke dalam bahan A sedikit demi sedikit.Guna spatula sahaja, cara kaedah kaup balik.
  5. Tuang adunan ke dalam periuk lubang (tak perlu dilenser).
  6. Setelah siap, hentakkan beberapa kali dan bakar selama 45-50 minit 175c
  7. Setelah masak, angkat kek dan terus terbalikkan diredai kek sehingga sejuk.
  8. Setelah sejuk, bolehlah dipotong dan hidangkan (hantar rumah jiran)...hehehe...

Wednesday, 6 June 2012

KEK MARBLE TRIO

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Lama betul menyepi...nak dikatakan sibuk, ye lah kot...sebenarnya tak ke mana ada jer cuma low profile sikit..hihi...biasalah kalau dah kerja, bila balik rumah dah jadi malas..apapun semangat membaking tetap membara dan membuak-buak dalam jiwa...ini adalah salah satu buktinya..hehe...




Hari ini saya nak kongsikan kek yang saya buat untuk dibawa balik kampung pada minggu lepas..ini adalah hasil jalan-jalan di di sini dan tak ketinggalan kakak yang sedang berada di Tanah Suci ini (semoga mendapat umrah yang mabrur)...tak tahu apa buah tangan yang hendak di bawa balik...kan balik dengan tangan kosong tak best pulak...so, saya buatkan kek ini (bersama - sama dengan kek chiffon oren dan juga cream puff)...kek ini sedap dengan gabungan rasa coklat, strawberi dan sedikit perisa ros..nampak sedikit meriah dengan gabungan warna-warnanya yang cantik...



Jom saya sharekan resepinya di sini:

MyKitchen's Recipe
By: CMG 

300g butter 
280g tepung gandum (saya guna self raising flour) 
1 sudu besar susu tepung 
1 teaspoon baking powder (saya tak letak sebab saya dah guna self raising flour)

5 biji telur gred A
1 sudu besar ovelette
250g gula halus 
30g gliserin*
20ml air (dicampur dengan gliserin)
1 1/2 sudu teh chocolate emulco1 sudu teh strawberry emulco
1/2 sudu teh esen ros

Cara-cara membuatnya:

1. Lenser tin berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser kertas tadi dengan sedikit mentega. Ketepikan.2. Putar mentega hingga pucat, pada speed sederhana, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis, putar rata dan alihkan ke dalam mangkuk lain.3. Dalam mixing bowl yang bersih dan kering, masukkan gula halus dan ovellete, putar hingga rata. Masukkan kelima2 biji telur, dan putar pada kelajuan tinggi hingga telur kembang dan kental seperti adunan baulu.4. Perlahankan sedikit kelajuan mixer dan masukkan adunan no. 2 sedikit demi sedikit hingga habis, putar rata dan masukkan bancuhan air + gliserin, gaul rata.5. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. 1 bahagian + coklat emulco, 1 bahagian + strawberry emulco dan 1 bahagian + rose essence (yang ini biar plain). Tuang aduan secara berselang seli dalam tin tadi. Lorekkan dengan hujung pisau atau chopstik, pastikan hujung pisau/chopstik sampai ke dasar adunan.6. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 55 minit hingga 1 jam, bergantung pada oven masing2. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dihidangkan.


CATATAN DARI CIK MAT GEBU :- Kalau tak ada gliserin, abaikan gliserin dan air, ganti dengan 50ml susu cair atau whipping cream (saya gunakan susu cair). Pasal perisa dan pewarna untuk marble tu boleh ikut citarasa masing2. Oven perlu dipanaskan 10 minit sebelum membakar kek.



Monday, 23 April 2012

RAINBOW CAKE...


Waaa....dah ada model kek saya kali ini..hehehe...itu lah namanya sepertimana yang tertera pada kek tersebut...besar gedabak tulisannya (takut orang tak nampak)

Sebenarnya kek ini buat sebagai farewell untuk budak comel ini...officemate di tempat kerja lama dulu..walaupun dah lebih setahun terpisah tapi kami sering berhubung..usik mengusik membawa bahagia..tapi dik..kau dah memilih untuk pergi meninggalkan kami..walaupun bukanlah jarak yang jauh sangat tapi sudah pasti keadaannya berlainan sekali selepas ini..apapun, selamat maju jaya dik..semoga penghijrahan yang dibuat memberi seribu rahmat dan keberkatan buatmu...


Pening jugak memikirkan apa kek yang sesuai untuk budak kecik ni..sebab dia ni tak suka kek coklat...tapi bersesuaian dengan perwatakannya yang ceria, saya memilih untuk membuatkannya kek pelangi ini..semoga hidupmu akan seindah warna-warna pelangi ini...saya tahu dia mesti suka..tengoklah tu..harap2 betul la dia suka dengan senyumannya yang sampai ke telinga itu...

Jom saya share resepi kek yang berwarna - warni ini..sebenarnya dah ramai yang buat kek ini..antara yang saya tengok dan rujuk resepinya di sinidi sini dan tak ketinggalan di sini. Saya percaya ramai yang dah buat...apapun, saya sharekan sekali lagi resepinya di sini:

BAHAN - BAHAN :

3 cawan tepung
4tsp baking powder
1/2 tsp garam
1 cawan butter - suhu bilik
2 cawan gula castor (saya kurangkan kepada 1 3/4)
5 biji putih telur - suhu bilik
2tsp esen vanilla
1 1/2 cawan susu segar
Pewarna

Cara-cara membuatnya;
1. Ayakkan tepung, baking powder dan garam.
2. Pukul butter dan gula sampai kembang dan gebu.
3. Masukkan telur putih, pukul lagi sampai sebati dan gebu.
4. Masukkan esen vanilla.
5. Masukkan tepung berselang-seli dengan susu segar.
6. Bahagikan kepada 6 bahagian sama banyak (timbang untuk mendapatkan lapisan yang sama).
7. Bakar setiap lapisan yang berlainan dalam loyang 8 inci.
8. Bila dah siap dibakar, susun ikut lapisan yang dikehendaki dan hias dengan kreativiti masing - masing. Saya menggunakan topping cream cheese untuk topping kek saya ini.



Sunday, 22 April 2012

OREO CHEESE CAKE



Kek keju or lebih senang disebut dengan cheese cake bukanlah termasuk dalam senarai makanan yang menjadi igauan saya setiap hari (bukan seperti nasi dagang atau ketupat sotong yang boleh menyebabkan ngigau waktu malam hehehe)..maklumlah orang kampung manalah suka sangat makan cheese ni kan..tapi keinginan untuk membuatnya sentiasa ada..apatah lagi jika ada godaan - godaan yang meruntun jiwa...hari ini godaan itu datang dalam majalah Saji keluaran bulan Mei 2012..melihat gambar yang ada dalam majalah tu apatah lagi ia adalah sumbangan kakak baik ini, hati meronta-ronta nak membuatnya..tengok kepada bahan-bahannya semua ada kat rumah kecuali biskut oreo tapi ia bukanlah bahan yang susah untuk didapati..bisa diatur..lalu langkah terus diatur mendapatkannya...


Tak susah membuatnya kawan-kawan...sapa yang ada beli majalah Saji tu sure dah tengok resepinya kan, sapa yang belum, saya kongsikan resepinya di sini:

KEK KEJU OREO (OREO CHEESE CAKE)
Sumber: Majalah Saji Mei 2012 (Azlita Aziz)

Bahan-bahan:
1 keping kek span coklat (saiz 8")
250g krim keju (suhu bilik)
100g coklat masakan putih - cairkan secara double boiler
15g serbuk gelatin - larutkan dalam air hingga kembang
1 paket biskut oreo
80g gula castor
250g krim putar 
50ml air
1 sudu teh esen vanilla

CARA - CARA MEMBUATNYA:
1. Mula - mula panaskan gelatin secara double boiler hingga larut. Kemudian pukul krim keju dan gula castor hingga lembut dan berkrim.
2. Tuangkan coklat putih ke dalam adunan krim keju diikuti pula dengan gelatin dan kacau hingga sebati. Tambahkan sedikit esen vanilla dan kacau adunan hingga sempurna.
3. Dalam bekas lain, pukul krim putar hingga gebu dan kental. Masukkan 1/3 krim putar ke dalam adunan keju tadi. Kaup balik adunan hingga rata.
4. Tambahkan baki krim putar yang selebihnya dan kaup balik hingga bergaul sempurna. Masukkan adunan ke dalam piping bag.
5. Sediakan loyang/spring form bulat berukuran 8". Masukkan kepingan kek span coklat di dasarnya.
6. Paipkan satu lapis adunan tadi di atas kek span. Kemudian susunkan kepingan biskut oreo.
7. Ulang semula secara berselang-seli sehingga adunan habis.Ratakan permukaannya.
8. Simpan dalam peti sejuk sekurang - kurangnya 4 jam. Akhir sekali, hias mengikut kreativiti masing - masing.

Mudahkan....semua boleh buat..bagi penggemar cheese cake, memang tak salah untuk mencuba sebab rasanya sangat sedap...(abaikan timbang yang ada dirumah ada untuk menikmati kek ini tanpa rasa bersalah)..hihihi...




Sunday, 15 April 2012

CHECKERED CAKE



Assalamualaikum dan selamat petang....

Hujan lebat sedang membasahi bumi diluar...teringat kejadian pada minggu lepas...hujan tiba-tiba turun dengan guruh dan petir yang amat kuat..tiba2 seluruh isi rumah gelap gelita...so, saya sangkakan black out semua...duk la saya dalam gelap sampai la malam...tiba2 jiran telefon, sebenarnya bukan black out tapi trip..punyalah saya ketakutan sampaikan takut nak menjengah ke luar..sudahnya rumah saya sorang yang bergelap..hehe..



Dah lama teringin nak buat kek ini tapi hasrat asyik terbantut..apatah lagi dengan kaedah membuatnya yang ditunjukkan step by step oleh kakak kreatif dan baik hati ini...wah rasa macam tak der la susah sangat, so, terus mencabar diri..one day aku mesti buat kek ini...so, hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba jua semalam...dalam hati berdoa janganlah tak jadi, janganlah tak jadi...kalau pun tak sehebat sifu, 50% pun jadi la...hehe..


Tapi, macamana nak jadi macam sifu sebab memang untuk resepi kek, saya tak ikut dia..saya gunakan vanilla sponge cake n chocolate sponge cake yang saya biasa buat..cuma untuk buttercreamnya dan langkah-langkah membuatnya, saya ikut apa yang diajar oleh Kak Ita...so, sapa2 yang nak mencuba resepi ni, terpulang sama ada nak ikut resepi 100% dari blog Kak Ita ataupun mana - mana yang lebih mudah...pada saya rasanya ok..

Kepada yang nak mencuba SELAMAT MENCUBA..anda pasti berjaya...GOOD LUCK!!!!

Friday, 13 April 2012

KEK PANDAN MARMAR


Waaaa...kek lagi...lupakan pada alat penimbang...makan jer...x payah risau-risau..lepas tu petang2 lepas balik kerja buat-buat la pegang raket badminton kejap...konon nak beriadah dengan anak jiran... baru 2,3 kali serve, nampak pokok bergoyang hebat, ada monyet atas pokok mangga, terus lari bertempiaran..bukan berpeluh sebab main badminton tapi sebab lari dikejar dek monyet..ish ish ish...takpelah, keluar la jugak peluh 2,3 titik...so, lepas tu tanpa rasa bersalah makan kek sebab kononnya dah exercise tadi...*hampeh... 


Kek ini juga akan menjadi pilihan saya untuk melepaskan tekanan perasaan..sebab rasa dia yang sedappp..semua sedaplah..camano nak buek....belasah ajer lah...





Resepi ni sekali lagi dari blog Kak Ita..saya tempekkan resepinya di sini...




KEK PANDAN MARMAR
Olahan oleh : Yatie 
Terjemahan oleh : Adnan Ibrahim CMG

Adunan di bawah untuk 1/2 daripada resepi adunan asal


125 gram mentega, cair dan sejukkan
125 gram gula kastor
125 gram tepung gandum, diayak 
4 biji telur gred A
1/2 camca besar ovallate
2 camca besar susu pekat manis
1/2 camca besar esen vanilla
1/2 camca besar coklat emulco
1 camca besar serbuk koko
1/2 camca besar pes pandan
Badam cincang untuk hiasan (optional)
Dusting powder @ gula aising untuk hiasan


Panaskan oven pada suhu 170C, lenser tin bulat berukuran 7 atau 8 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser juga kertas tadi. Ketepikan.
Dalam mixing bowl, masukkan tepung, gula kastor, ovallate, telur dan susu pekat manis, kacau rata dengan whisk hingga semua sebati.
Kemudian putar pada kelajuan tinggi hingga kembang dan gebu (kurang lebih 7 - 8 minit).
Tuang mentega cair dan gaul rata dengan spatula.
Bahagikan kepada 2 bahagian sama banyak, satu diletak pandan paste, kacau rata.
Satu lagi diletak esen vanilla, coklat emulco dan serbuk koko, kacau sebati.
Sudukan cara berselang seli antara adunan pandan dan coklat. Mulakan di bahagian tengah tin, hingga siap.
Tabur dengan badam cincang, dan bakar selama 40 - 45 minit atau hingga masak.
Keluarkan kek dan terbalikkan atas jaringan, buang kertas alas dan biar kek sejuk.




Hanya satu perkataan untuk menggambarkan kek ini...sedapp...so, makanlah tanpa waswas...

KEK BATIK ARORA



Cantik tak kek saya? Hehe..mesti la cantik...perasan x hengat...resepi ini pun adalah dari kakak baik ini...terima kasih Kak Ita kerana banyak berkongsi resepi hebat tanpa jemu...resepinya tak pernah mengecewakan dan banyak perkara yang nampak sukar dipermudahkan olehnya...trimas sis...


Kek ini sangat sedap...gabungan perisa yang ada didalamnya menjadikan kek ini sangat sedap...sungguh gebu, lembut dengan beraneka perasa mmmm....menyerlahkan rasa yang sukar untuk dimengertikan dan diceritakan..kena makan sendiri baru tahu kehebatan kek ini..hehe...so, untuk resepinya boleh terus ambik di link di atas yer...percayalah ia sangat sedap...mesti tak menyesal...

Wednesday, 22 February 2012

CHEESE CAKE WITH COCKTAIL..

Assalamualaikum...

Permintaan dari sahabat yang seorang ini amat sukar untuk saya tolak, walaupun diri berada dalam keadaan yang sangat tidak bersedia. Tapi memandangkan kebaikan beliau, saya buatkan kek ini. Ini juga adalah salah satu kek yang saya buat untuk jiran saya sempena majlis makan - makan atas kenaikan pangkatnya itu. Setinggi - tinggi TAHNIAH untuk beliau. 


Lama dah sangat saya tak buat kek ini. Sumbernya saya dah lupa dari mana tapi saya rasa kawan saya yang ini umimans.blogspot.com. Sebab di awal2 pembabitan saya dalam arena baking membaking ni, tak banyak rujukan yang ada. Hanya ada beberapa kawan inilah yang saya berkongsi minat dan resepi. So, Kak Lani, jika betullah sumber ini adalah dari Kak Lani, minta izin untuk sharekan di sini yer...jika bukan dia, saya minta tuan asal resepi ini halalkan kepada saya..hehe...

Bahan - bahan:

Bahan A

250g cream cheese
1/4 buku butter
6 biji kuning telur
60g tepung jagung
1/2 fresh cream
1 tsp esen limau (jika suka)

Bahan B:
125g gula castor
6 biji putih telur.

Cara membuatnya:
1. Pukul Bahan B hingga betul2 kembang (soft peak).
2. Dalam bekas yang berasingan, pukul cream cheese dan butter. Setelah sebati, masukkan kuning telur. Pukul lagi hingga sekata dan masukkan tepung jagung dan seterusnya fresh cream bersama esen limau.
3. Masukkan Bahan B ke dalam Bahan A. Kacau hingga sebati.
4. Masukkan ke dalam loyang dan bakar secara steam bath.


Bahan untuk topping:
1 tin buah-buahan cocktail
10g instant jelly
250g air
50g gula

Masak air dan gula hingga mendidih. Kemudian masukkan instant jelly. Kacau hingga larut sepenuhnya.

Lilitkan kek dengan ring plastik. Susunkan buah-buahan cocktail atas kek dan curahkan instant jelly dengan cepat kerana ia akan cepat membeku. Setelah jelly keras, boleh ditanggalkan ring...nyum nyum...


*sebenarnya resepi asal kek ni tak der topping ni, saya tambah sendiri

Friday, 17 February 2012

CARROT WALNUT CAKE

Assalamualaikum dan selamat pagi. Semga semuanya berada di dalam keadaan sejahtera dan dapat menjalankan tanggungjawab masing - masing dengan penuh keceriaan. Hujung minggu datang lagi...pastinya masing - masing teruja nak memasak makanan kesukaan keluarga masing - masing. Yang dah berbaris dalam waiting list untuk dipersembahkan kepada insan - insan tercinta...

Hari ini saya nak share kan satu resepi carrot cake. Ini adalah resepi yang telah saya gunakan sekian lama untuk buat kek lobak merah ni. Saya dah cuba beberapa resepi lain tapi saya ni susah nak bertukar selera. Tetap setia pada yang satu ini...kesimpulannya saya memang seorang yang setia pada yang satu...huhuhu...
Sebelum saya membebel dengan lebih panjang lebar lagi, jom saya sharekan resepinya kat sini




Bahan A
280g red rose @ superfine  flour (saya guna red rose flour)
½ tea spoon baking powder
½ tea spoon soda bicarbonate
¼ tea spoon cinnamon powder (jika tak suka rasa kulit kayu manis, boleh diabaikan bahan ini)

Bahan B
400g carrot – disagat dan diperah buang airnya
80g chopped walnut (roasted)

Bahan C
5 biji telur
300g gula castor
¾ teaspoon garam
250g corn oil

CARA - CARA MEMBUATNYA
Pukul bahan C (telur dan gula ) dengan high speed selama 4 minit. Masukkan garam dengan speed 2.Kemudian, masukkan minyak jagung dengan speed 1.Pukul hingga sebati. Setelah sebati masukkan Bahan A. Pukul dengan perlahan. Setelah sebati, matikan mixer. Masukkan Bahan B. Dan kacau secara kaup balik sehingga sekata.

Bakar pada suhu 180c selama  45 hingga 50 minit.





BAHAN UNTUK TOPPING
120g butter
250g cream cheese
120g icing sugar
Sedikit lemon paste (jika suka)

Beat all together dan sapukan atas kek. Boleh juga dihias dengan hiasan kesukaan masing - masing. Saya hanya letakkan croquant. Percayalah ia sangat sedappp...